Selasa, 18 September 2018

7 Tips penjagaan Kereta yang Mudah untuk Para Wanita


1. Periksa dan pastikan tekanan angin tayar kereta kita betul
Memiliki tekanan angin tayar yang betul boleh membantu memanjangkan jangka hayat tayar kenderaan kita di samping meningkatkan keselamatan kenderaan dan membantu menjimatkan bahan api. Langkah pertama ialah mengenal pasti tekanan yang betul untuk tayar kita. Ini boleh didapati dalam manual pemilik kenderaan, pelekat di bahagian dalam pintu pemandu atau penutup minyak petrol. Tekanan tayar yang betul ditentukan oleh pengilang kereta dan ianya berbeza bergantung kepada jenama, model dan beban semasa kenderaan. Terdapat dua ukuran yang berbeza untuk merekod tekanan tayar – Bar atau PSI. Jika unit ukuran anda tidak sepadan dengan rujukan dalam buku panduan anda, gunakan pautan laman web ini untuk menukar unit ukuran.
Kita disyorkan untuk membuat pemeriksaan tekanan tayar termasuk tayar gantian sekurang-kurangnya sekali sebulan, sebelum membuat perjalanan yang jauh dan apabila terdapat perubahan dalam beban kenderaan. Tayar mestilah sejuk apabila kita menjalankan pemeriksaan – sebaik-baiknya jika kereta dipandu tidak melebihi 5 kilometer selepas berhenti untuk semalaman. Semasa melakukan pemeriksaan tekanan, jalankan juga pemeriksaan visual untuk bunga tayar
2. Beri perhatian kepada petanda-petanda masalah brek
Penyelenggaraan brek adalah penting dalam memastikan keselamatan kita dan penumpang. Jika brek kita mengeluarkan bunyi bising seperti besi bergesel, itu mungkin menjadi petanda bahawa kita perlu merujuk juruteknik yang diperakui untuk pemeriksaan brek yang segera.
Terdapat beberapa simtom yang menandakan penurunan dalam prestasi brek selain bunyi bising yang dihasilkan. Antaranya,
Kita terpaksa menekan brek lebih jauh ke lantai dari kebiasaannya.
Kita merasa gegaran luar biasa apabila menekan brek.
Kereta kita seolah-olah ditarik ke kanan atau kiri semasa menekan brek.
3. Periksa tahap cecair penyejuk radiator (coolant)
Radiator di dalam kereta berfungsi untuk menyejukkan enjin kita dan ia memerlukan air dan cecair penyejuk radiator. Kita wajib membuat pemeriksaan berkala terhadap tahap cecair dalam sistem penyejukan kereta kita dan membuat penambahan jika perlu. Sebelum membuka penutup pada radiator, cuba semak dahulu dengan melihat sama ada cecair penyejuk radiator telah mencapai garis “Full” (atau “Max”) di sebelah takungan pendingin. Jika cecair tidak mencapai garis “Full”, tambahkan campuran 50% air dan 50% cecair penyejuk. Sesetengah cecair penyejuk telah dicampur air, jadi periksa botol untuk melihat sama ada kita perlu menambah air atau hanya guna terus. Elak daripada menambah sehingga aras melepasi garisan “Full”.
Jangan tambah cecair penyejuk kala enjin masih panas! Sekiranya kita perlu menambah lebih banyak cecair penyejuk, tunggu sehingga enjin telah sejuk. Jika kita membuka penutup sistem penyejukan kala enjin masih panas, cecair penyejuk yang masih panas boleh terpancut keluar. Selain itu, tindakan sebegitu boleh menyebabkan keretakan pada blok enjin kereta kita. Cecair penyejuk sepatutnya berwarna merah, hijau, biru atau kuning. Jika kelihatan tidak berwarna, berkarat atau mempunyai bahan yang terapung di atasnya, hantar ke pusat servis untuk pam keluar kesemua cecair daripada sistem penyejukan dan isi semula dengan cecair penyejuk yang baru.
4. Uji bateri kereta
Bateri yang lemah boleh menyebabkan kita terkandas pada masa yang amat memerlukan. Jika sistem elekronik kenderaan seperti kunci kawalan jauh atau lampu dalaman hanya berfungsi secara rawak, bateri yang lemah mungkin sebabnya. Ianya penting untuk kita menguji bateri dan sistem elektrik dengan kerap, bukan hanya apabila ia menunjukkan tanda-tanda kelemahan.
Bagi mengekalkan prestasi bateri kereta pada tahap optimum, kita digalakkan untuk menguji bateri kereta sebanyak dua kali setahun. Kebanyakan pusat servis menawarkan ujian bateri secara percuma yang hanya memakan masa lima minit. Ujian bateri yang berkala dapat memastikan bateri kita sentiasa sedia untuk memulakan perjalanan walau apa jua keadaan.
Selain itu, amalan yang mudah seperti mematikan lampu dan lain-lain aksesori (contohnya GPS) kala enjin kereta dimatikan adalah wajib dipraktikkan.
5. Bersih dan ganti bilah pengelap (wiper) yang usang
90% daripada keputusan memandu kita dibuat berasaskan maklumat visual, namun satu daripada setiap lima kenderaan di jalan raya mempunyai bilah pengelap cermin depan yang usang atau bermasalah. Bilah pengelap kaca yang bermasalah boleh mengganggu penglihatan kita dan menjejaskan keselamatan di jalan raya.
Sebagai garis panduan, bilah pengelap harus diperiksa secara berkala dan digantikan setiap enam bulan. Antara amalan-amalan mudah yang boleh dipraktikkan termasuk membersihkan cermin kereta setiap kali kita mengisi tangki minyak, membersihkan kotoran pada bilah pengelap dengan tisu lembap serta membuat pemeriksaan untuk sebarang keretakan pada bilah.
6. Tukar minyak hitam berdasarkan pengesyoran
Minyak enjin adalah nadi kenderaan kita dan wajib ditukar mengikut tempoh masa pengunaan atau jumlah jarak perjalanan. Rujuk manual pemilik kita untuk kenal pasti. Secara umumnya, minyak enjin jenis semi-sintetik boleh digunakan sehingga 5,000 km atau 3 bulan manakala minyak sintetik penuh boleh digunakan sehingga 10,000 km atau 6 bulan.
Elak daripada melengahkan penukaran minyak enjin, kerana ia boleh menyebabkan pembentukan enapan dan kerosakan pada bahagian dalam enjin. Biasanya, juruteknik di pusat servis juga akan menukar penapis minyak di samping menjalankan pemeriksaan menyeluruh kala kita menghantar kereta untuk menukar minyak enjin.
7. Sediakan kit kecemasan kereta
Kit kecemasan kereta adalah salah satu tip penjagaan kereta yang anda tidak terfikir sehingga ianya sudah terlambat. Realitinya, kerosakan kenderaan boleh berlaku di mana-mana dan pada masa yang tidak dijangka. Dengan adanya kit kecemasan, banyak kerumitan dapat dikurangkan. Kit kecemasan kereta direka untuk membantu kita bertahan sehingga tibanya bantuan.
Berikut adalah barangan yang harus menjadi sebahagian daripada setiap kit kecemasan kereta:
- Telefon bimbit yang dicas sepenuhnya
- Kit pertolongan cemas
- Alat pemadam api
- Segitiga amaran reflektif
- Kabel jumper
- Lampu suluh kalis air dengan bateri tambahan
- Sarung tangan
- Kain
- Tali tunda
- Duct tape
- Alat utiliti serba guna
- Baju hujan
- Air minuman dan biskut


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

OPEN BOOKING (8-14 APR 2019)